Tuesday, 21 February 2017

MINGGU SAYANGI SEKOLAH ~ "HAPPY SCHOOL CAMPUS"

Pada tanggal 13 Februari sehingga 21 Februari 2017, Sekolah Menengah Arab Tahfiz telah mengadakan Minggu Sayangi Sekolah yang bertemakan Happy School Campus. Pogram ini diadakan bertujuan untuk menyemai perasaan sayang dan cinta akan sekolah dalam kalangan pelajar dan guru. Setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan diketuai oleh seorang guru. Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan.

1. Pelancaran Minggu Sayangi Sekolah










2. Pembahagian Kumpulan Mentor-Mentee











3. Serasa Bersama

















4. You Are In My Heart





5. Komik Sayangi Sekolah





Semoga program ini dapat membangkitkan rasa cinta dan sayang pelajar terhadap sekolah. 

Monday, 20 February 2017

KEM KEPIMPINAN 2017

“PELAJAR HARI INI, PEMIMPIN HARI ESOK”

   KEM KEPIMPINAN 2017

Oleh: Siti Nurbaya (SM5), Izzahtul Syazwani (SM5), Nur Fatin Nabila (SM3), Nur Fadzilah (SM2), Shahirah Umaimah (SM1A)


Pada tanggal 20 dan 21 Januari 2017, telah diadakan Kem Kepimpinan SMART 2017. Para peserta yang hadir ialah pelajar yang menyandang jawatan di sekolah sebagai Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, BADAR, Biro Asrama, Ahli Jawatankuasa Persatuan/Kelab/Badan Beruniform Kokurikulum dan tidak dilupakan Ketua dan Penolong Ketua Kelas.

Slot 1 - Sewaktu pendaftaran kami diberikan satu fail dan tag nama setiap seorang. Selepas itu, kami dibahagikan kepada 6 kumpulan dan setiap kumpulan diberi satu barang amanah iaitu belon yang berisi air dan kami perlu menjaganya supaya tidak pecah. Bermulalah slot yang pertama bersama penceramah kami yang diberi gelaran Angah. Angah memberi ceramah motivasi yang bertajuk “Bagaimana mahu menjadi seorang pemimpin?” Selain itu, Angah menyuruh kami menulis soalan tentang Kem Kepimpinan. Lebih seronok apabila Angah memberikan bintang kepada seisapa sahaja yang berani bercakap di hadapan. Kami juga dapat berkenalan bersama rakan-rakan baru.

Slot 2 - Kami didedahkan dengan cara-cara pengucapan awam dan kesalahan-kesalahan dalam pengucapan awam. Angah juga memberitahu tentang gerak-geri orang yang gugup ketika membuat pengucapan awam. Seterusnya, masa yang amat dinantikan oleh Angah ialah latihan pengucapan awam. Latihannya ialah pelajar berdiri tegak dan bercerita dengan gaya.

Slot 3 – Selepas selesai pelajar menunaikan solat, kami meneruskan aktiviti kami yang seterusnya. Angah memilih seorang pelajar untuk menunjukkan latihan berdiri, bergaya, bercakap dan gangguan. Pelajar yang telah terpilih ialah wakil dari SM5 iaitu Muhammad Rafiq Amzar. Aktiviti seterusnya kami diberikan tugasan untuk membina menara marshmellow yang paling tinggi dan kukuh menggunakan spageti dan marshmellow. Kumpulan pertama banin telah menjuarainya. Sebelum kami membina menara, Abang Is ada memberikan beberapa tip untuk menegur rakan degan cara tidak menyakitinya, antaranya tip ‘puji smash’. Dengan ini,  berakhirlah slot kami bersama Angah dan Abang Is.

Slot 4 - Selepas selesai khidmat diri, makan, dan solat, kami diberi tazkirah ringkas oleh Muhammad Haikal Hariz dari SM5. Banyak ilmu yang kami peroleh. Selesai solat Isyak, kami diminta berkumpul semula di dewan tertutup. Kami mendapat barang amanah iaitu satu batang wafer. Kami meneruskan aktiviti seterusnya dengan permainan Bingo. Kami perlu mengisi jawapan bagi setiap nombor bingo. Bagi setiap nombor bingo ada satu soalan perlu yang dijawab berkaitan dengan tokoh Islam seperti Khaulah Al-Azwar, Salahuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad Al-Fateh. Kumpulan yang memenangi permainan ini ialah kumpulan 5 dan 6 kategori Banat. Kami diberi tugasan untuk membina peta minda nama setiap ahli kumpulan dan ciri-ciri sebagai seorang pemimpin. Terdapat 4 kumpulan yang membentangkan ciri-ciri kepimpinan masingmasing. Semua peserrta menggunakan teknik-teknik yang telah dipelajari di slot awal.

Slot 5 - Pada hari terakhir, kami telah menerima satu lagu iaitu Padang Yang Hijau. Kami diminta menyanyi sambil membuat gaya. Kemudian, kami bertolak ke Vision Park untuk aktiviti checkpoint. Setibanya di sana, kami melakukan solat Dhuha di padang. Setiap kumpulan diberi satu klu untuk meneruskan aktiviti checkpoint. Terdapat 6 checkpoint. Permainan puzzle dijaga oleh Muallimah Asyikin, Matematik oleh Muallimah huda, Al-Quran oleh Muallim Hamzan dan Muallimah Hafizah menebuk ayat Al-Quran juzuk 30. Muallimah Mashitoh pula menguji deria rasa kami. Muallimah Hazwani memberikan tugasan meneka peribahasa dengan membuat aksi. Tugasan seterusnya ialah mencari muallim atau muallimah untuk mendapatkan checkpoint terakhir.

Kami berasa bertuah kerana mendapat rezeki makanan daripada pengunjung. Sebelum bertolak balik, kami mengadakan sesi bergambar.

Majlis Penutup - Kami mengadakan majlis ini di dewan tertutup. Pengerusi majlis ialah Muhammad Amsyar dari SM3. Dua orang wakil daripada pelajar Banat terpilih untuk memberikan sedikit ucapan. Seterusnya, penyampaian hadiah untuk para pemenang dan sijil untuk para pereserta untuk kem ini diadakan. Pemenang bagi Explorace ialah Kumpulan 1 (Banin) dan Kumpulan 1 (Banat). Selain itu, terdapat juga Peserta Terbaik iaitu Muhammad Haziq bin Mazlan (Banin) dan Nur Sakinah binti Sazali (Banat).

Kesimpulannya, banyak perkara yang telah kami pelajari di Kem Kepimpinan ini. Antaranya ialah kita perlu bekerjasama dalam satu kumpulan dan keberanian perlu ada dalam setiap diri pemimpin. Pelajar hari ini, pemimpin hari esok.









BULAN JAMADIL AWAL, BULAN KEILMUAN

BULAN JAMADIL AWAL, BULAN KEILMUAN

Oleh: Nur Shahida (SM3), Miss Nimuminah (SM3)


5 Jamadil Awal tahun 5 Hijriah—Sayyidah Zainab  lahir. Cucu Rasulullah, puteri Imam Ali A.S. dan Fatimah Az-Zahrah S.A.. Beliau terkenal atas ketakwaan, ketinggian ilmu, kefasihan bahasa, dan keberanian dalam membela kebenaran.

13 Jamadil Awal tahun 11 Hijriah—Fatimah Az-Zahra, puteri Rasulullah S.A.W. gugur syahid.

20 Jamadil Awal—Pembukaan Kota Constantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.


27 Jamadil Awal—Peperangan Ajnadain. Peperangan ini telah membuka jalan kepada penyempurnaan Islam di bumi Syam.

8 Jamadil Awal—Kelahiran Sayidina Ali R.A. Sahabat yang paling dicintai oleh Rasulullah walaupun usianya lebih muda. Usia kecilnya banyak dihabiskan bersama Rasulullah dan mendapat didikan terus dari Rasulullah. Beliau mempunyai ketinggian ilmu.

Ketinggian Ilmu Sayidina Ali
Rasulullah pernah bersabda *Aku adalah kota ilmu dan Ali gerbangnya”.   Sayidina Ali pernah berkata “Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.”

Sayidina Ali Mahir Matematik
llmu Sayidina Ali tidak terbatas pada agama sahaja, malah beliau pakar dalam bidang Matematik apabila berjaya menyelesaikan wasiat seseorang yang telah mengadukan masalah wasiatnya kepada Sayidina Ali.

Ibrah Peristiwa Kelahiran Sayidina Ali
Penting untuk kita mendalami ilmu dan betapa Sayidina Ali sangat mencintai ilmu. Allah juga berfriman dalam surah Al-Mujadalah ayat 11.

PROGRAM ORIENTASI PELAJAR

“JOM KEMBALI KE SEKOLAH”

PROGRAM ORIENTASI PELAJAR

Oleh: Muhammad Nawaf (SM5), Muhammad Syahmi (SM5), Muhammad Haikal Hariz (SM5), Muhammad Ayob (SM4), Muhammad Tholhah (SM2), Muhammad Anas (SM1A), Haziq Fauzan (SM1A)



Pada tanggal 2 Januari 2017 telah berlangsungnya Majlis Orientasi bersama pelajar-pelajar baru. Pada waktu itu, semua pelajar baru dan lama dikehendaki berkumpul di dalam dewan. 
         Aktiviti yang pertama ialah ucapan aluan dan perasmian daripada Pengetua Sekolah Menengah Arab Tahfiz iaitu Puan Maimunah Binti Mohamed Beon. Seterusnya, aktiviti memperkenalkan guru-guru kepada para pelajar. Selepas itu, kami didedahkan dengan sistem pembelajaran di sekolah. Selain itu, Muallim Zul telah memberikan taklimat hafazan serta sasaran hafazan untuk setiap tingkatan.
          Akhir sekali, kami mewakili pelajar sekolah ini ingin menanam azam untuk tahun 2017 supaya menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya. Insya-Allah.

HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN VALENTINE’S DAY

HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN VALENTINE’S DAY

Oleh: Mohamad Nabil Aiziq (SM2), Izzat Haikal (SM2), Muhammad Afiq Syawal (SM1B), Muhammad Adam Nafiz (SM1B), Amirul Hakimi (SM1A)


Amalan menyambut Valentine’s Day tidak pernah diadakan oleh Islam. Pe-rayaan tersebut mempunyai pengaruh Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bertentangan dan dilarang dalam agama Islam.
         Islam melarang umatnya meniru dan menyamai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

          Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk terutamanya di Amerika dan Eropah akan menyambut Hari Valentine’s Day. Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikannya kerana suka-suka tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut. Harus diingat mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui sejarah perayaannya akan membawa umat Islam kepada kehancuran akhlak, keimanan dan akidah.

KENANGAN BERSAMA AHLI BOMBA

KENANGAN BERSAMA AHLI BOMBA

Oleh: Muhammad Aidilfitri (SM4), Muhammad Naim (SM4), Azhar Izzuddin (SM3), Muhammad Syauqi (SM3), Muhamad Faris Danial Tan (SM3), Muhammad Syafiq Haikal (SM1A), Salim Basyeer (SM3)


Pada tanggal 24 Januari 2017, pada pukul 9.15 pagi, semua pelajar dikejutkan dengan bunyi loceng yang agak panjang sebanyak dua kali. Bunyi loceng tersebut telah menyebabkan semua pelajar terkejut dan berlari ke padang sekolah. Pada pukul 9.30 pagi, pihak bomba telah tiba di hadapan bangunan sekolah. Pada awalnya, seorang pihak bomba yang bernama Tuan Azhar telah memberikan taklimat tentang cara-cara menggunakan alat pemadam api. Selepas taklimat yang diberikan oleh Tuan Azhar, terdapat satu lagi pengisian yang diberikan oleh Tuan Muzaffar yang menceritakan jenis-jenis warna api dan jenis warna alat pemadam api. Selepas kedua-dua taklimat tamat, pihak bomba telah mengadakan demonstrasi memadamkan kebakaran. Seorang pelatih bomba meletakkan minyak ke dalam tong dan menyalakan api. Beberapa orang guru dan pelajar dipanggil untuk melakukan demonstrasi memadamkan api tersebut. Setelah selesai, beberapa orang pihak bomba menyampaikan kata-kata terakhir sebelum menamatkan latihan kebakaran. Pihak sekolah juga telah mennyerahkan sagu hati kepada pihak bomba sebagai tanda terima kasih. Selepas itu, para pelajar diberikan peluang bertanya tentang peralatan bomba yang terdapat di kereta bomba. Akhir sekali, semua pelajar bersurai dan menikmati waktu rehat di kantin.

.